Setelah 26 tahun penubuhan
PJJ: Bersedia merentasi sempadan pendidikan
Oleh MOHD AMIRUL AKHBAR
|
PERDANA MENTERI Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini telah menyarankan agar semua universiti tempatan mengungguli pendidikan jarak jauh (PJJ) dengan merentasi sempadan di rantau ini. Dalam konteks ini Universiti Sains Malaysia (USM) yang merupakan universiti tempatan pertama menawarkan PJJ sejak 26 tahun lalu bermula pada tahun 1971 kini sememangnya sudah bersedia untuk menyahut saranan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri.
Pengarah Pusat PJJUSM, Prof. Madya Dr. Md Nor Salleh menyatakan sehingga kini PJJ USM telah berjaya mengeluarkan seramai 4500 siswazah dan dijangka dengan pengambilan pelajar baru bagi sidang akademik 1998/ 1999, ia akan mencecah kepada angka 7000 orang berbanding kini yang berjumlah 4500 siswazah. “Saranan agar semua universiti tempatan mengungguli PJJ dengan merentasi sempadan di rantau ini memang baik dan dengan segala kemudahan yang dimiliki sama ada dari segi teknikal berkemampuan untuk melakukannya tetapi ia juga bergantung kepada dasar yang diambil oleh pihak universiti dan Kementerian Pendidikan.
Pemindahan Maklumat
|
Sementara itu, kursus yang ditawarkan juga meliputi Sarjana Muda Sastera, Sarjana Muda Sains, Sarjana Muda Sains Sosial, Sarjana Muda Pendidikan, Sarjana Muda Kejuruteraan dan yang paling terbaru ditawarkan pada tahun ini ialah sarjana Muda Pengurusan.
“Pada zaman awal PJJUSM, corak pengajarannya dilakukan secara pendidikan gaya pos iaitu dengan menghantar bahan-bahan bacaan berupa nota kuliah kepada pelajar-pelajarnya. Universiti-universiti luar negara umpamanya Eropah mengakui sistem PJJ yang kita amalkan adalah antara yang terbaik dan mereka sendiri tidak mungkin dapat menyediakan kemudahan... Terdapat juga pensyarah-pensyarah yang dihantar pergi ke pusat wilayah seperti di Jitra dan sebagainya. Bagi pelajar-pelajar yang baru memasuki kursus PJJ, mereka didedahkan dengan sistem pembelajaran yang asas menggunakan media tertentu seperti teori serta amalan dan ciri-ciri ini kita tekankan pada tahun pertama.
Terbaik
Untuk memudahkan pembelajaran pelajar, pihak kami dari masa ke semasa telah membangunkan modul dari berbentuk gaya pos kepada yang berbentuk multimedia, vidoe dan juga tele-sidang,”katanya.
Berkenaan isu kemasukan pelajar baru ke PJJUSM, beliau menjelaskan pihaknya sentiasa mengambil berat akan perkara ini. Antara inisiatif yang telah diambil ialah dengan menghebahkannya melalui siaran radio, mengadakan pameran bergerak mengenai PJJUSM, menghantar pensyarah-pensyarah ke maktab-maktab perguruan di seluruh negeri serta mengiklankannya ke dalam akhbar tempatan.
Tambahnya, universiti-universiti luar negara umpamanya dari Eropah sendiri mengakui sistem PJJ yang kita amalkan adalah antara yang terbaik dan mereka sendiri tidak mungkin dapat menyediakan kemudahan seperti yang kita sedia dan tawarkan melainkan beberapa buah universiti khususnya yang terdapat di Amerika Syarikat yang kebanyakkannya lebih berasaskan kepada komputer. Malahan kebanyakan universiti tempatan yang menawarkan PJJ umpamanya Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia juga belajar dari USM cara-cara mengendalikan PJJ.
Modul
“Terdapat juga universiti dari luar negara yang ingin bekerjasama dengan kita dan menjual modul yang mereka hasilkan tetapi memandangkan modul PJJ yang kita miliki lebih terkehadapan daripada mereka, maka kita fikir buat masa sekarang kerjasama itu tidaklah begitu mendesak. Kita mampu untuk membangunkan modul sendiri yang lebih murah dan sesuai dengan keadaan tempatan berbanding dengan modul mereka yang lebih mahal. Kita juga perlu melihat kembali matlamat utama penubuhan PJJ iaitu untuk menolong mereka yang berada di luar bandar dan tidak berpeluang mendapatkan ilmu pengetahuan di peringkat tertinggi serta meningkatkan ilmu pengetahun guru-guru yang berkhidmat dengan Kementerian Pendidikan,” katanya.
Beralih kepada soal USM yang meminta Kerajaan Persekutuan mempercepatkan penubuhan konsortium untuk menyelaraskan Program PJJ, Md. Nor mempunyai pandangan dan sebabnya yang sendiri dalam menyokong penubuhannya.
|
Pusat Pendidikan Jarak Jauh yang ditubuhkan 26 tahun lalu telah melahirkan ramai siswazah yang berkualiti.
“Dengan adanya konsortium kelak ia akan berfungsi sebagai satu badan pengurusan yang lebih baik, menjimatkan belanja dan memastikan semua kursus yang ditawarkan adalah standard dan tidak bertindihan. Melalui konsortium juga ia akan menguruskan bahan pengajaran, hal-ehwal pelajar sekaligus menyelaraskan bidang yang ditawarkan oleh PJJ.
Dalam hal ini kita perlu menjaga kualiti siswazah yang dikeluarkan melalui PJJ dan bukannya kuantiti, tidak ada gunanya kita mengeluarkan ramai siswazah PJJ tetapi kualitinya tidak seberapa,”katanya lagi.
Apabila masyarakat dan negara sudah maju, maka PJJ adalah program pembelajaran yang sesuai dan mendatangkan kebaikan kepada mereka yang ingin menyambung pelajaran dan dalam masa yang sama bekerja.
Sebagai perancangan masa hadapan, PJJUSM bercadang untuk menawarkan ijazah tinggi umpamanya Sarjana Pentadbiran Pengurusan dan Sarjana Pendidikan.
|