Cabaran Pengurusan Organisasi Berasaskan Pengetahuan
Oleh MOHD AMIRUL AKHBAR
Program Pengurusan Pengetahuan
Fakulti Ilmu Kemanusiaan dan Sains Sosial
Universiti Tun Abdul Razak, Selangor

|
Cabaran pengurusan Organisasi Berasaskan Pengetahuan (Knowledge – Based Organisation) dalam Zaman Maklumat sememangnya satu isu yang tidak lepas dari topik perbincangan semasa. Pengurusan yang dimaksudkan di sini bukan hanya melibatkan faktor-faktor modal biasa yang selalu diutarakan dalam aspek pengeluaran, tetapi ia melibatkan sesuatu yang jauh lebih penting iaitu pengurusan ke atas sumber manusianya. Dengan kata lain, ia bersangkutan dengan pengurusan ke atas golongan pekerja yang merentasi batas pekerjaan, tanggungjawap serta yang paling penting ialah tingkat ilmu pengetahuan yang dimiliki. Berbagai pihak sedar bahawa model pengurusan tradisional yang terlalu memfokuskan kuasa dan kata pemutus di tangan majikan semata-mata dan golongan pekerja hanya agen yang menuruti dan melaksanakan arahan, sudah tidak sesuai untuk diamalkan. Lebih-lebih lagi dalam zaman yang semakin mencabar dan penuh dengan ketidaktentuan. Seperti yang dinyatakan oleh Brian S. Wesbury dalam bukunya The New Era of Wealth bentuk pengurusan lama yang tidak dapat berjalan seiringan dengan pengurusan bentuk baru tidak akan dapat bertahan dengan lama; persaingan semakin meningkat; dunia semakin mengecil dan pelbagai peluang terbuka di serata dunia. Pemahaman yang menyeluruh terhadap trend yang sebegini boleh menjuruskan usaha kita dalam melipatgandakan lagi kekayaan organisasi. Ironinya ialah tidak banyak organisasi yang bersedia untuk menerima hakikat yang sebegini. Bagi organisasi yang benar-benar menghargai pekerja-pekerjanya, mereka sedaya upaya akan cuba untuk memperkaya dan mencambahkan ilmu pengetahuan terkini yang perlu dimiliki oleh mereka yang bernaung di bawah organisasinya. Tindakan ini secara tidak langsung mencerminkan penghargaan terhadap nilai yang dimiliki oleh para pekerja dan sumbangan yang mampu dibalas kembali oleh golongan pekerja hasil suntikan pengetahuan yang diperolehi. Situasi begini memerlukan pengorbanan, khususnya daripada organisasi untuk menyuburkan budaya memperolehi ilmu pengetahuan. Ia boleh diperolehi dan dimiliki oleh para pekerja menerusi maklumat-maklumat yang disalurkan menerusi pendidikan secara formal, tidak formal serta tidak ketinggalan penganjuran kursus-kursus jangka pendek oleh pihak-pihak yang berkenaan. Keutuhan dan kejayaan sesuatu idea, banyak bergantung kepada pendedahan yang dilalui oleh golongan pekerja. Ini kerana manusia dari masa ke semasa memerlukan input baru yang boleh membantu melicinkan lagi pekerjaan yang dilakukan. Sekaligus ia akan menguntungkan organisasi sekiranya idea berkenaan terbukti berkesan dalam aplikasi penggunaannya, tidak kira bidang perniagaan, teknologi maklumat, kesihatan mahupun kejuruteraan.
|
|
Contoh yang paling sesuai dalam membicarakan aspek penerapan ilmu pengetahuan di kalangan pekerja ialah seperti yang diamalkan oleh syarikat pembuat kenderaan terkemuka dari Jepun iaitu NISSAN. Ia amat menitik-beratkan aspek perolehan ilmu pengetahuan di kalangan pekerja-pekerjanya. Malahan bagi pekerja yang sanggup untuk mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan, mereka diberikan peluang kenaikan pangkat dan pendapatan selaras dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki. Kaedah ini secara tidak langsung akan terus mengikat para pekerja untuk terus menabur bakti di organisasi mereka. Di sini secara beransur-ansur kita akan dapat melihat konsep keterikatan kepada organisasi (self of belonging to the organisation) bertapak tanpa perlu dipaksa-paksa. Tidak timbul soal pekerja yang mendapat pendedahan dan ilmu pengetahuan kelak akan berhijrah ke organisasi lain. Persepsi yang sebegini perlu dibuang memandangkan persaingan di antara organisasi masa kini adalah teramat tinggi. Mereka yang kaya maklumat (Information Rich) akan beroleh pengetahuan yang memungkinkan mereka membuat keputusan dan tindakan dalam hal-hal yang bersangkutan dengan organisasi, sekaligus mempunyai nilai yang tidak dapat dijual beli. Untuk muncul menjadi sebuah organisasi yang berasaskan pengetahuan, terdapat beberapa perkara utama yang perlu dilakukan iaitu penerapan amalan keterbukaan pengurusan organisasi, kesediaan menerima kritikan dan belajar mengatasi kelemahan, sentiasa mencuba pendekatan baru serta memberikan kuasa dan kepercayaan kepada para pekerja dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Bagi organisasi yang ingin mencapai tahap berkenaan, ia perlu mengubah persepsi terhadap para pekerjanya. Para pekerja perlu dilihat sebagai rakan kongsi yang bukan hanya melaksanakan tugas-tugas tertentu tetapi juga pemberi input kepada kejayaan syarikat. Menerusi perkongsian yang bijak antara majikan dan pekerja ia secara tidak langsung telah melibatkan kedua belah pihak dalam pengurusan organisasi. Kini proses membuat keputusan dan perkongsian idea berlaku dengan lebih sempurna dan jika ia terus dipraktikkan ia akan menghapuskan jurang antara pekerja atasan dan bawahan. Segala maklumat yang sebelum ini hanya berlegar di peringkat operational akhirnya dapat disampaikan kepada pihak atasan. Secara beransur-ansur golongan pekerja akan merasai diri mereka adalah berharga dan khidmat mereka masih diperlukan. Ini akan mendorong mereka untuk bekerja dengan lebih tekun, rajin dan berdedikasi. Selain itu bagi memperlihatkan sama ada sesebuah organisasi itu adalah yang berasaskan pengetahuan ataupun tidak ialah jumlah pekerja yang meninggalkan syarikat atau dalam lain perkataan berhenti adalah tinggi bilangannya (staff turnover). Keadaan yang sebegini bakal menggagalkan kewujudan sebuah organisasi yang berasaskan pengetahuan kerana tenaga kerjanya yang begitu cepat meninggalkan organisasi.
|
|
Ini mengakibatkan budaya pengembangan dan perkongsian ilmu pengetahuan sesama rakan sekerja terbantut. Ini mungkin terjadi kerana para pekerja tidak berpuas hati dengan layanan dan ganjaran yang diberikan kepada mereka berbanding dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki. Ini menyebabkan mereka beralih menyertai organisasi yang mampu untuk menawarkan pendapatan yang lebih lumayan. Satu yang jelas ialah penghijrahan beramai-ramai pekerja ke organisasi lain adalah satu kerugian yang amat besar kerana mereka bukan hanya berhijrah membawa tubuh badan tetapi juga membawa potensi perniagaan yang bakal diperolehi daripada pelanggan-pelanggan yang pernah mereka hubungi. Oleh itu adalah amat penting kita memfokuskan pengukuhan struktur organisasi yang meliputi pihak pengurusan dan pekerja. Malahan pihak organisasi sendiri terpaksa menanggung kos yang lebih kerana terpaksa menggantikan pekerja yang telah berhijrah dan memberikan latihan kepada pekerja-pekerja yang baru.
|